Selamatkan Al-Aqsa
PENULIS ingin memanjangkan inti pati khutbah Jumaat kelmarin, yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengajak kita memikirkan sejenak penderitan rakyat Palestin yang terus dicengkam dengan peperangan dan tekanan oleh Israel. Pada masa ini wilayah Palestin semakin dihimpit. Penduduknya saban hari ditindas dan dizalimi tanpa hentinya.
Pada 2018 genap tahun ke-70 penubuhan negara haram Israel di bumi Palestin. Semenjak itu beribu-ribu orang Palestin telah terkorban dan tercedera.
Mantan Syeikh al-Azhar, Profesor Dr Muhammad Sayyid Tantawi menggambarkan sifat keji bangsa Yahudi ini melalui bukunya Banu Israel fi al-Quran wa as-Sunnah bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya.
Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, semenanjung Sinai dan Madinatul Munawwarah.
Al-Aqsa merupakan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan kini kedudukan masjid itu dalam keadaan amat membimbangkan rentetan daripada pembinaan terowong-terowong di bawah tanah kawasan masjid oleh rejim Zionis menyebabkan kerosakan pada bangunan masjid yang semakin hari semakin parah.
Sejak akhir-akhir ini Masjid al-Aqsa telah diserang dan diceroboh oleh Israel pada tahap dan kekerapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Israel telah cuba membahagi-bahagikan Masjid al-Aqsa dari sudut masa dan ruang.
Muslim Palestin tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid al-Aqsa pada waktu-waktu tertentu khususnya pada waktu pagi untuk memberi laluan kepada orang Yahudi memasuki Masjid al-Aqsa.
Mereka juga sedang cuba mendapatkan sebahagian daripada ruang di dalam Masjid al-Aqsa atas alasan untuk beribadah. Kedua-dua langkah ini telah dilakukan secara terancang dengan bantuan tentera, polis dan kerajaan Zionis Israel.
Selain itu, kita amat kesal atas sikap biadab dan tidak bertanggungjawab sesetengah negara yang menyokong jenayah keganasan Zionis ini. Negara-negara kuasa besar ini berdiam diri dalam isu melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam.
Namun mereka bertindak proaktif dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat yang bukan Islam. Ia secara langsung membuka peluang yang besar bagi musuh-musuh Islam untuk terus menceroboh dan mencabul kesucian Islam.
Islam sebagai agama rahmah amat mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam).
Islam melarang keras sebarang bentuk kezaliman dan membiarkan muslim yang lain dizalimi. Kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Muqaddis kerana ia adalah kiblat pertama dalam syiar Islam kita.
Selain tempat berlakunya Israk dan Mikraj, Baitulmaqadis juga merupakan masjid kedua dibina di bumi ini dan tempat yang diberkati serta dilipatgandakan pahala dan diampunkan dosa.
Kita sering dimomokkan dengan istilah Islamofobia yang sengaja mewujudkan rasa benci terhadap Islam yang kononnya sebagai puak pelampau dan terroris. Namun tindakan Israel yang bukan sahaja rasis, radikal, terroris dan ekstremis lebih diihat sebagai Israelmofobia. Sayangnya Israel terus 'dibela dan disokong' oleh pihak berkepentingan khususnya di Barat.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan, tanpa mengira agama dan bangsa, marilah bersama-sama membantah tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan itu.
* Prof. Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!