Ramsey wira Villa
PENGENDALI Aston Villa, Steven Gerrard nyata gembira dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya ketika menewaskan Southampton 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Sabtu.
Menurut beliau, meskipun kemenangan itu tidak bergaya seperti yang diharapkan, namun dia tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak buah apabila berjaya menamatkan kemarau kemenangan.
“Ia satu kemenangan besar. Ia tidak cantik atau bergaya tetapi dengan kedudukan kami dalam liga, kami tahu kami perlu melakukannya dengan cara yang pragmatik.
“Saya amat berbangga dengan usaha anak didik saya. Dalam bola sepak, anda perlu menggali dan melawan.
“Ia tempoh yang sukar, tetapi saya melangkah ke hadapan dan melindungi pemain saya. Kami menerima banyak kritikan dan ia mengenai reaksi dan itulah yang telah kami lakukan malam ini," kata Gerrard.
Pada aksi tersebut, Jacob Ramsey menjadi wira buat Villas apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa pertama.
Untuk rekod, ini merupakan kemenangan pertama Villa dalam lima perlawanan liga selepas seri dengan juara bertahan, Manchester City dalam perlawanan terakhir mereka dua minggu lalu.
Hanya buat kali kedua dalam 11 perlawanan terakhir mereka, sejak musim lalu, Villa menamatkan perlawanan dengan meraih tiga mata dan tidak bolos buat kali pertama sejak selepas 12 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!