Malaysia suarakan kebimbangan situasi semasa di Nagorno-Karabakh
PUTRAJAYA - Malaysia menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi semasa di Nagorno-Karabakh, wilayah yang menjadi pertikaian berikutan pertempuran terbaru antara tentera Azerbaijan dan Armenia.
Berdasarkan laporan pertempuran yang bermula pada Isnin itu meragut lebih 150 nyawa.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Malaysia menyeru semua pihak terlibat dalam konflik itu bertenang, menyambung semula rundingan secara aman dan mengelak menjadikan konflik bertambah buruk dengan mencari penyelesaian untuk mengembalikan keamanan yang berpanjangan di rantau itu.
"Malaysia sentiasa menyokong berdasarkan empat (4) resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum pelbagai hala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Malaysia juga sentiasa menyokong resolusi dan inisiatif oleh OIC dan PBB mengenai konflik Nagorno-Karabakh.
"Malaysia juga mengundi menyokong Resolution 62/243: The Situation in the Occupied Territories of Azerbaijan yang diterima pakai pada 14 Mac 2008 pada Sesi ke-62 Perhimpunan Agung PBB,” menurut kenyataan itu.
Resolusi itu selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dengan isu penyelesaian konflik secara aman berdasarkan menghormati integriti wilayah dan larangan mencabuli sempadan wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!