Sambutan Hari Hak Asasi Manusia berjalan lancar
PETALING JAYA - Sambutan Hari Hak Asasi Manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diadakan di sini, hari ini, berjalan lancar dengan kehadiran ratusan pengunjung setakat tengah hari.
Sambutan yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya bertemakan #StandUp4HumanRights itu bermula kira-kira 10 pagi dan dijangka berakhir pada 3 petang ini.
Selain Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail, turut dilihat hadir pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.
[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan Tun M wajar dipuji, kata Pas]
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi, berkata pihaknya mengawal lokasi tersebut bagi menjaga aliran trafik dan memantau keselamatan orang awam.
Acara sambutan itu yang sepatutnya diadakan semalam, ditangguhkan ke hari ini atas faktor keselamatan bagi mengelak pertembungan dengan perhimpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!