Thailand mula persiapan pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn
BANGKOK - THAILAND. Thailand semalam memulakan acara khas bagi menyambut pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn yang dijadual berlangsung bulan depan.
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguruskan pertabalan berkenaan dilapor mengumpul air daripada lebih 100 sumber air suci di 76 wilayah seluruh negara untuk kegunaan ketika upacara pertabalan kelak.
Acara pengumpulan air tersebut dijalankan serentak di seluruh negara antara jam 11.52 pagi dan12.38 tengahari (waktu tempatan) dan turut disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen.
Air yang disimpan dalam bekas khas itu akan terlebih dahulu disucikan oleh pihak kuil sebelum dicampurkan pada 18 April.
Upacara pertabalan Raja Vajiralongkorn,66, akan berlangsung selama 3 hari bermula 4 hingga 6 Mei dan ia merupakan acara yang ditunggu-tunggu rakyat Thailand.
Raja Vajiralongkorn menjadi raja Thailand susulan kematian bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej yang meninggal dunia pada 2016 setelah memerintah hampir 70 tahun. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!