Tanduk Cafe tawar kelainan untuk 'kaki makan'
BENTONG - Menyajikan masakan barat mengikut trend dan selera semasa, Tanduk Cafe wajib dikunjungi 'kaki makan' yang dahagakan kelainan.
Nikmat menjamu selera di kafe hipster ini bukan sahaja terletak pada kelazatan makanan disajikan, malah dekorasinya yang menarik perhatian.
Terletak di Lurah Bilut, Tanduk Cafe diusahakan oleh generasi ketiga tanah rancangan Felda itu yang berazam untuk memajukan tempat kelahirannya.
Mohd Amirul Shah Zulkefli, 37, berkata, pengalamannya dalam bidang makanan dan minuman (F&B) memberikannya keyakinan untuk menceburi bidang itu.
Katanya, dia dan rakan kongsinya, Siti Kamariah Azmi, 35, membuat carian di internet dan merujuk kepada blog-blog masakan bagi mencari idea dalam menghasilkan menu yang memenuhi selera pelanggan.
"Chiken Chop Ramen, Cheezy Mexican Burger, Carbonara VS Chicken Grill dan banyak lagi pilihan sajian barat boleh dinikmati di Tanduk Cafe pada harga berpatutan," katanya ketika ditemui di Tanduk Kafe, di sini.
Lulusan Diploma Hotel dan Pelancongan dari Kolej Antarabangsa Ikip (Ikip) berkata, menu sajian barat bermula pada harga RM10 hingga RM20, manakala minuman dari RM1 hingga RM8.
Terletak di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Lurah Bilut, perjalanan ke kafe ini hanya mengambil masa 15 minit dari bandar Bentong dan Raub.
Pelanggan juga diberikan pilihan dengan tersedianya menu masakan panas seperti mee, bihun, kuey teow goreng dan tom yam.
Untuk menghilangkan dahaga, pelanggan boleh memesan seleksi minuman 'float' istimewa yang ditawarkan.
Selesai menjamu selera, kereta kuda tersedia untuk membawa pelanggan Tanduk Cafe bersiar-siar sejauh 1 kilometer dengan caj RM5 bagi kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa.
Mohd Amirul berkata, Tanduk Cafe beroperasi setiap hari kecuali Khamis, bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
"Alhamdulillah perniagaan mendapat sambutan baik daripada pelanggan dan saya aktif melakukan promosi menerusi media sosial seperti Facebook," kata Mohd Amirul.
Konsep berkongsi rezeki
Tanduk Cafe turut menyediakan gerai-gerai secara percuma bagi memberikan peluang kepada peniaga lain berkongsi rezeki.
"Saya aplikasi konsep 'food court' supaya orang lain boleh berkongsi rezeki di Tanduk Cafe. Ada yang jual pasta, nasi lemak dan sebagainya.
"Saya mahu kumpulkan peniaga-peniaga Melayu dan mereka tidak perlu bayar sewa, hanya bawa barang-barang dan berniaga. Cuma bayar api dan air sahaja," katanya.
Mohd Amirul berkata, setakat ini dia mempunyai lapan pekerja termasuk tukang masak.
Makan sambil beriadah di TIG
Tidak mahu hanya berpuas hati dengan apa yang ada, Mohd Amirul mengembangkan perniagaannya dengan membuka Tanduk In The Garden (TIG).
Berkonsepkan 'petting zoo', pelanggan bukan sahaja boleh menjamu selera malah melakukan aktiviti memanah, menunggang kuda dan 'petanque' di TIG.
Sementara itu, haiwan peliharaan comel seperti kuda, arnab, ular, monyet dan musang yang ada di situ pasti menarik perhatian si kecil.
"Antara menu-menu ditawarkan di TIG ialah TIG Chic Fried Rice , Chicken Chop, Mee Celup dan Lamb Chop.
"Saya suka buat kerja serampang dua mata. Jika ada hobi, biarlah ia boleh menjana pendapatan," katanya.
TIG dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 11 pagi hingga 6 petang serta pelanggan dikenakan bayaran mengikut aktiviti yang dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!