Pemuda BN siap sedia hadapi PRU15
KUALA LUMPUR - Pemuda BN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, motivasi Pemuda BN berada pada tahap maksimum bagi menghadapi PRU-15.
"Kalau isytihar bubar esok, kami (Pemuda) bersedia. Ini bukan main-main.
"Saya bersama Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Mohamad Hasan) beserta ketua-ketua sayap dan kepimpinan turun ke 191 bahagian melihat sendiri kesiapsiagaan Pemuda di semua bahagian bagi menghadapi PRU-15.
"Sebagai ketua, saya rasa amat berpuas hati... Saya boleh katakan pemuda BN sudah bersedia untuk hadapi PRU15," katanya ketika berucap sempena pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada pemuda BN untuk memenangi pilihan raya bukan sekadar 'omongan' (bercakap) kosong.
"Jika hendak memenangi PRU perlu pastikan wadah kita (BN) betul-betul kuat. Kita perlu kepimpinan dari atas hingga ke bawah, semua bersolidariti.
"Ramai cemburukan kita. Orang luar cemburukan BN kerana mereka tahu kalau pemimpin-pemimpin kita bersatu hati, mereka tidak ada peluang untuk menang. Kalau kita bersatu dan sepakat, mereka pasti ditolak rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!