Pengiktirafan buat barisan hadapan
PULUHAN ribu rakyat Malaysia hadir di Dataran Merdeka semasa perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Melaka tahun ini.
Kibaran Jalur Gemilang dan senyuman gembira wajah-wajah Keluarga Malaysia jelas menggambarkan semangat cintakan tanah air.
Pada saat itu, terlintas di fikiran bahawa kita bukan sekadar meraikan 65 tahun kemerdekaan negara atau 59 tahun pembentukan Malaysia tetapi usaha sama serta kegigihan senegara dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia dan Malaysia.
Dalam tempoh Merdeka-Hari Malaysia ini, ramai rakan dan ahli keluarga saya merenung kembali bagaimana kita berada di ambang krisis kesihatan awam serta ekonomi, kemudiannya berjaya memasuki fasa endemik.
Kesemua pencapaian itu bukan satu kebetulan tetapi adalah hasil perancangan teliti dan keberanian untuk bertindak berdasarkan pendekatan yang bukan konvensional.
Masih jelas dalam ingatan saya semasa Covid-19 mula melanda, dengan kadar kematian dan jangkitan yang mengerikan, ekonomi pula terus merosot. Pada saat itu saya baru sahaja mula bertugas dengan Kementerian Kewangan (MOF).
Perasaan ketika itu umpama dihumban ke jurang paling dalam kerana bencana dahsyat yang tidak pernah berlaku itu mula mencengkam kehidupan. Pada masa sama, kita tiada pengalaman untuk dirujuk.
Memang gementar dan bimbang apabila beratus ribu rakyat hilang pekerjaan dan banyak syarikat terpaksa ditutup. Sebagai Menteri Kewangan, saya berdepan dengan satu tragedi yang seolah-olah tiada kesudahannya.
Kisah seorang ayah yang tidak dapat menyediakan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anaknya atau ibu tunggal yang putus asa dek tekanan pandemik sehingga terdorong mahu mengakhiri nyawa sendiri adalah antara kisah menyayat hati yang membuatkan saya sering tidak boleh tidur malam.
Namun, kita juga biasa mendengar kisah-kisah keazaman rakyat untuk meneruskan kehidupan, antaranya iltizam juruterbang yang menjadi pembekal makanan dan eksekutif korporat tanpa bertali leher serta sut kerana terpaksa menjalankan kerja-kerja manual.
Hari-hari saya bergelut dengan hati nurani. Adakah saya terlalu optimis apabila menerima tawaran untuk menerajui MOF pada waktu itu? Setiap saat kita mencari jalan untuk menopang ekonomi negara daripada terus merosot.
TALIAN HAYAT
Dalam tempoh dua minggu selepas saya menyertai MOF, kami melancarkan pakej bantuan bagi menyokong ekonomi sebagai ‘talian hayat’ kepada mereka kehilangan pekerjaan atau perniagaan yang susut pendapatan.
Dalam tempoh dua tahun seterusnya, lapan pakej seumpama itu telah dilancarkan dengan nilai keseluruhan RM530 bilion.
Ia satu nilai yang begitu besar. Saya juga membentangkan dua belanjawan negara yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion untuk tahun 2021 dan RM332.1 bilion bagi 2022.
Apabila bekalan vaksin Covid-19 wujud, kerajaan bertindak pantas memvaksinasi semua rakyat Malaysia. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang efisien, kita mula nampak sinar di hujung terowong.
Walaupun kita kehilangan lebih 36,000 rakyat Malaysia akibat virus ini, petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan wajar diiktiraf.
Bakti dan pengorbanan mereka tidak ternilai terutamanya petugas yang tumpas semasa perang sengit dengan virus Covid-19.
Jika diimbas semula, petugas barisan hadapan wujud dalam pelbagai bentuk. Selain mereka yang menyarung peralatan pelindung diri, stetoskop dan picagari, hakikatnya ada ramai petugas barisan hadapan ekonomi serta media di belakang tabir yang berhempas pulas menganalisis data atau melaporkan berita secara bertanggungjawab dalam usaha memulihkan negara.
Mereka juga telah menyumbang tanpa mengenal erti penat lelah sepanjang pandemik. Dasar ekonomi dan komunikasi kerajaan yang responsif berjaya membakar semangat rakyat Malaysia untuk terus bertahan serta kembali pulih.
Mereka terdiri daripada rakan sekerja saya di MOF dan kementerian lain serta badan-badan media dan pelbagai agensi kerajaan. Merekalah yang memastikan ekonomi kekal stabil dan maklumat disampaikan secara adil serta telus.
Ekonomi Buku yang saya lancarkan baru-baru ini, Weathering the Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of Covid-19 mengisahkan saat-saat getir pandemik dan pelbagai platform untuk berkongsi dasar-dasar MOF serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyampaikan maklumat terkini tentang pemulihan kesihatan awam dan ekonomi.
Kita telah bergelut dengan isu-isu seperti sekuriti makanan, pemulihan rantaian bekalan yang terjejas, keperluan operasi berterusan sektor pembuatan, pembongkaran, penjelasan berita palsu dan bermacam-macam lagi.
Buku saya merupakan pengiktirafan kepada usaha dan dedikasi mereka yang telah berjasa demi kesejahteraan negara.
Kita mungkin jatuh tetapi tidak tersungkur, semangat yang patah kini kembali utuh. Alhamdulillah, ekonomi negara telah berkembang ekoran langkah awal seperti subsidi upah bernilai RM21 bilion dan usaha mewujudkan pekerjaan untuk rakyat.
Hasilnya adalah pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tiga suku ekonomi berturut-turut iaitu 3.6 peratus (S4 2021), 5.0 peratus (S1 2022) dan 8.9 peratus (S2 2022).
Kadar pengangguran pada Julai lalu pula adalah 3.7 peratus, satu penurunan ketara berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.
Ia semua membuktikan bahawa dengan kepimpinan rasional berdasarkan langkah-langkah responsif, dan komunikasi atau pelaporan yang bertanggungjawab dan telus, bahtera ekonomi negara mampu distabilkan semula ke arah perairan yang lebih tenang untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Kini sudah masuk 30 bulan saya di MOF. Saya berasa sedikit lega dan amat bersyukur kerana berpeluang menerajui MOF sejak Mac 2020 untuk sama-sama berjuang sebagai ‘askar’ yang berjaya membendung pandemik ini.
Semangat kerjasama rakyat kita sebenarnya amat kuat dan sekiranya kita bersatu berganding bahu, nescaya Malaysia mampu maju dan mara ke hadapan.
Sejak ekonomi mula dibuka semula perlahan-lahan sehinggalah dibuka sepenuhnya, saya telah bertemu dengan ramai peniaga kecil dan besar.
Daripada mak cik penjual songkok di Kampong Bharu, Kuala Lumpur hinggalah ke perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai pasaran di ASEAN.
Rata-rata melahirkan rasa syukur kerana dapat berniaga semula. Banyak lagi cerita sebegini dikongsi dengan saya. Ia mencetuskan satu kesedaran bahawa ada pelbagai kisah rakyat yang tidak saya ketahui semasa dalam dunia korporat.
Rutin harian saya kini amat berbeza dan terlalu sibuk berbanding dahulu, namun nilai perasaan puas dengan peluang berkhidmat untuk rakyat tidak dapat saya gambarkan.
Pada pendapat saya, ‘Keluarga Malaysia’ bukanlah sekadar sebuah slogan tetapi ia adalah kesinambungan perjuangan nenek moyang kita yang bertungkus-lumus mengasaskan sebuah negara yang aman dan progresif.
Insya-ALLAH, hidup akan lebih bermakna sekiranya kita semua memainkan peranan dalam merealisasikan visi ini demi tanah air tercinta.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!