Heung-min lepas geram, ledak hatrik
PEMAIN sensasi, Son Heung-min seakan melepaskan geram daripada kemarau gol apabila melakukan hatrik ketika membantu Tottenham Hotspur membenam Leicester 6-2 pada Ahad.
Bintang Korea Selatan itu meledak tiga gol dalam tempoh 13 minit termasuk dua jaringan dari jarak jauh selepas masuk sebagai pemain gantian dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri.
Penyudah berbisa Heung-min itu membalas kepercayaan bos Spurs, Antonio Conte yang mengenepikannya kerana gagal meledak dalam lapan perlawanan sebelum ini.
"Penyudah saya tumpul musim ini. Saya juga kurang bernasib baik," ujar Heung-min.
Pada aksi itu, Leicester terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Youri Tielemans menerusi sepakan penalti pada minit keenam, namun Spurs tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan Harry Kane.
Pemain pertahanan, Eric Dier kemudian meletakkan tuan rumah di depan sebelum James Maddison kembali mengikat perlawanan pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah menambah jaringan menerusi Rodrigo Bentancur dan hatrik Heung-min pada minit ke-73, 84 dan 86.
Hatrik pemain berusia 30 tahun itu menunjukkan dia tidak terkesan apabila Conte merehatkannya daripada barisan serangan.
Sangat kecewa, tapi saya tahu gol akan datang dan saya tidak bimbang mengenainya. Saya sentiasa bekerja keras dan mahu membantu pasukan.
"Saya sentiasa ada penyokong di belakang dan ia sesuatu yang hebat. Ini membuatkan saya sentiasa percaya dan menjadikan saya kuat dalam tempoh yang sukar ini.
"Secara jujur ia membuatkan saya emosi, dengan sokongan yang menakjubkan itu," ujar Heung-min.
Kemenangan kelima Spurs dalam tujuh aksi liga membawa mereka di atas Arsenal dan sama mata dengan pendahulu, Manchester City.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!