Pekerja ladang, pejalan kaki maut dalam kemalangan berasingan

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari Proton Pesona yang terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 26 Jalan Merotai - Bombalai, Tawau pada awal pagi Ahad.
Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari Proton Pesona yang terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 26 Jalan Merotai - Bombalai, Tawau pada awal pagi Ahad.
A
A
A


TAWAU - Seorang pekerja ladang maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan dalam kejadian di Kilometer 26 Jalan Merotai - Bombalai, di sini pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Mohd Rizdwan Baharuddin, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 pagi dan seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 32 kilometer.

"Sebaik tiba, sebuah kenderaan jenis Proton Pesona terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan dengan seorang mangsa lelaki tersepit.

"Pasukan bomba kemudian mengeluar mangsa yang tersepit dalam kenderaan dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.50 pagi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dalam perjalanan arah Bandar Tawau menuju ke Merotai.

"Mangsa yang memandu sendiri telah hilang kawalan dan terbabas sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian," jelas beliau.



Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kota Kinabalu, seorang pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari di Jalan Tun Razak, di sini pada jam 1.20 pagi Ahad.
Artikel Berkaitan:


Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu.
Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu.



Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai maut ketika cuba melintas jalan.

"Seorang pejalan kaki disyaki dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak diketahui dan siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di lorong kiri jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri selain berlumuran darah di bahagian kepala oleh seorang penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.

"Berdasarkan pemeriksaan, terdapat kesan hentakkan oleh objek keras di bahagian muka dan kepala selain terdapat garis lurus disyaki kesan brek sebuah kenderaan di atas jalan raya pada lorong sebelah kiri," ujarnya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pihak polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!