Elak pertembungan kerusi pada PRU15
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) akan memastikan tidak berlaku pertembungan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memberi jaminan itu berkata, pertindihan kerusi akan dielakkan menerusi rundingan kedua-dua pihak dalam usaha mencapai persetujuan dan kesepakatan bersama.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor itu berkata, ketika ini PH sedang mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponennya terlebih dahulu yang akan selesai menjelang 30 September ini.
"Rundingan sedang berlaku dan saya yang ketuai rundingan bagi pihak PKR. Soal Muda (mahu kerjasama politik dengan PH) akan melalui proses dalam PH. Maknanya perkara itu perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan sebagainya.
"Kemasukan atau permohonan Muda itu, tidak kira apa keputusan, akhirnya Majlis Presiden PH (akan buat keputusan) setelah melalui proses, itu tidak akan mengganggu rundingan kerusi yang akan terus berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru, Larkin di sini pada malam Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Pengarah Strategik PKR.
Pada PRN Johor Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara PKR dengan Muda, namun kedua-dua calon parti itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).
Rafizi berkata, ketika ini PH sudah mempunyai calon daripada parti-parti komponennya melibatkan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
"Kita telah ada semua senarai kerusi (yang akan ditandingi PH) di seluruh Malaysia, soal bagaimana Muda ingin bekerjasama, itu akhirnya di peringkat yang seterusnya, atas sebab itu saya tidak nampak ada pertindihan kerusi kali ini," katanya.
Ditanya bila keputusan kerjasama Muda dengan PH akan dimaklumkan, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi dan tumpuan ketika ini menyelesaikan pembahagian kerusi antara komponen PH.
Menurutnya, mana-mana pihak boleh memberikan pandangan mengenai perkara tersebut tetapi akhirnya nanti Majlis Presiden PH yang akan membuat keputusan dan semua pihak perlu akur.
"Ini perlu melalui proses dan saya yakin ada prosesnya. Ye la macam juga orang nak berkahwin, dia mesti merisik lepas tu meminang, tengok hantaran, jadi banyak perkara, ia akan ambil proses.
"Soal rundingan kerusi PRU15, ini semua tidak terkait dengan soal hasrat Muda untuk sertai PH. PH adalah gabungan politik yang kuat dan akan meneruskan momentum sedia ada, berkenaan Muda, ia akan diberitahu apabila sampai masanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!