PRU15 masa terdekat: Rafizi bidas kenyataan Ismail Sabri
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor itu berkata, keputusan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dalam keadaan negara akan berdepan banjir yang dijangka berlaku bila-bila masa.
"Sebagai ahli politik, kita ada tugas untuk berkhidmat kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika negara akan berdepan dengan monsun. Kita tahu betapa dahsyat musibah menimpa rakyat ketika berdepan banjir.
"Jadi, ia adalah langkah tak bertanggungjawab untuk fokus pada PRU15 ketika mengetahui akan berdepan banjir. Sejak banjir buruk pada tahun lalu, tidak ada pembinaan struktur baharu bagi mendepani banjir, paling hebat dibuat hanya tambah bilangan bot.
"Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) berpendirian sekiranya hendak panggil PRU15, silakan, kami sudah bersedia. Ia tidak akan mengubah keadaan kerana rakyat sudah membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru, Larkin pada malam Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Pengarah Strategik PKR.
Pada Sabtu, Ismail Sabri ketika berucap sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022, membayangkan PRU15 akan diadakan sedikit masa lagi dan perkara itu akan dibincangkan dengan 'top 5' UMNO iaitu kepimpinan tertinggi parti itu.
Susulan itu, pada hari sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, pemimpin atau ahli politik sepatutnya memberi tumpuan bagi menghadapi banjir serta membantu rakyat dan bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU15.
Beliau berkata, sekiranya PRU15 diadakan ketika musim banjir, jentera parti tidak boleh 100 peratus tumpu kepada kempen semata-mata sebaliknya mereka juga perlu turun membantu rakyat di negeri yang terkesan banjir seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!