UMNO yakin PRU15 dalam tempoh tiga bulan akan datang
PONTIAN - UMNO yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu berhubung pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.
"UMNO yakin PRU15 akan diadakan pada Oktober hingga Disember ini. Tetapi kena elak sebelum banjir.
"Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya. Kalau pilihan raya pada November, maknanya kena bubar (Parlimen) Oktober," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi pada Ahad.
Pada Sabtu ketika melancarkan Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memberi bayangan PRU15 akan diadakan secepat mungkin.
Ismail Sabri juga dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan 'Top Five' mengenai pembubaran Parlimen.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengesahkan pertemuan 'Top Five' UMNO pada 30 September ini tetap diadakan seperti yang dijadualkan.
"Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan 'Top Five' secara tidak rasmi.
"Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat 'Top Five' diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.
"'Top Five' ini sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media. Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi 'Top Five' di luar," jelas beliau.
'Top five' UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!