Mural Panglima Hitam Tambun angkat sejarah tokoh legenda
DUNGUN - Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun (PSMKD) mengambil inisiatif membina sebuah mural seorang tokoh legenda daerah ini sekitar abad ke-19 iaitu Panglima Hitam Tambun berhampiran Jalan Tambun di Kuala Dungun, di sini.
Setiausaha Kehormat PSMKD, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, ia sebagai usaha mengangkat kembali lembaran sejarah gemilang Panglima Hitam Tambun supaya tidak dilupakan masyarakat terutamanya generasi baharu.
Menurutnya, mural yang turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah Dungun dan Majlis Perbandaran Dungun itu juga bagi memastikan ketokohan Panglima Hitam Tambun dapat dikaji dengan lebih mendalam.
“Dengan kewujudan mural Panglima Hitam Tambun di sini setidak-tidaknya dapat melahirkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Ia juga menyingkap kembali sejarah daerah ini bahawa di situ pada satu ketika dulu wujud sebuah perkampungan Melayu sebelum peredaran sejarahnya berubah menyebabkan penempatan mereka lenyap ditelan arus zaman,” katanya pada Ahad.
Mural Panglima Hitam Tambun telah dirasmikan pada 15 September lalu oleh Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim sambil disaksikan oleh waris-waris tokoh legenda dan terbilang di daerah Dungun itu.
Menyingkap sejarah Panglima Hitam Tambun, Wan Rosli berkata, Panglima Tambun atau Pak Hitam Tambun merupakan panggilan penduduk setempat manakala nama sebenarnya adalah Syed Syeikh Abdul Karim Qahaar yang lahir pada tahun 1799.
Katanya, Panglima Hitam Tambun telah berhijrah dari Minangkabau ke Dungun selepas diburu oleh penjajah Belanda sebelum diberi keizinan oleh Sultan Zainal Abidin III untuk membuka sebuah penempatan di Kuala Dungun.
“Dengan kepakarannya dalam ilmu mempertahankan diri beliau turut membuka sebuah gelanggang seni silat gayung (Silat Pongok).
“Sultan Zainal Abidin III telah melantik Panglima Hitam Tambun sebagai ketua pengawal keselamatan di daerah ini terutamanya di perairan Dungun daripada gangguan lanun-lanun yang sering merompak kapal-kapal dagang yang melalui perairan ini,” katanya.
Jelas Wan Rosli, dengan ketokohan dan kehebatannya, Panglima Hitam Tambun telah berjaya menewaskan lanun-lanun yang sering bermaharajalela seperti Helang Merah, Sabut Kering, Tunggul Buluh, Demam Tak Kebah dan lain-lain.
“Panglima Hitam Tambun meninggal dunia pada tahun 1916 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Tengah.
“Sebatang jalan di Kuala Dungun telah dinamakan sebagai Jalan Tambun sebagai mengenang dan menghargai jasa-jasa beliau terhadap daerah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!