‘Saya tak suka berjanji’
RAMAI beranggapan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau merupakan ‘ibu’ segala PRK kerana pertembungan ini melibatkan panglima perang baharu dalam BN iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat. Tidak keterlaluan jika ini dikatakan perang besar antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO. Merampas DUN Rantau daripada Tok Mat seolah-olah menjatuhkan UMNO yang baru bangkit. Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Mohamad yang diadakan di Rantau baru-baru ini.
Adakah PRK ini paling penting dalam hidup Datuk Seri?
MOHAMAD: Mahu kata paling penting dalam hidup saya ia kurang tepat kerana PRU lagi penting daripada PRK kerana PRU itu menentukan kerajaan. PRK ini menang atau kalah tidak beri kesan secara langsung kepada pentadbiran kerajaan sama ada persekutuan atau negeri kerana ia satu kerusi sahaja.
Jika tewas, adakah ia membunuh karier politik Datuk Seri?
MOHAMAD: Andai kata saya tidak berjaya dalam PRK ini tidaklah sampai boleh membunuh karier politik saya dalam UMNO. PH ada diwakili parti yang sudah 60 tahun jadi pembangkang dan tak pernah menang pun, tetapi ia tidak pula membunuh karier mereka. Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah kalah dalam Parlimen semasa dia jadi Ahli Parlimen tapi dua kali jadi Perdana Menteri. Tapi PRK ini merupakan PRK di kawasan saya dan karier politik sebagai pemangku Presiden atau Timbalan Presiden akan diteruskan. Menang atau kalah, itu biasa. Tapi tugas sebagai orang dipertanggungjawabkan sebagai pemangku Presiden parti akan diteruskan demi memperkasakan semula parti sekaligus menyusun strategi hadapi PRU15. Karier politik adalah karier politik.
Apakah pandangan bila orang kata ini pertandingan Tok Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
MOHAMAD: Apa kena mengena Anwar dalam PRK Rantau? Saya bertanding wakili BN dan PH diwakili Dr S Streram. Cuma orang nampak penglibatan beliau amat tinggi. Ini tidak menghairankan kerana beliau Presiden PKR dan PH pula diwakili oleh PKR. Maka seharusnya beliau sentiasa ada di kawasan untuk bantu parti. Kalau saya pun jika selaku ketua parti akan ada di mana-mana PRK. Saya tidak tahu macam mana orang mengaitkan itu sebagai satu persepsi.
Ada pihak beranggapan jika Datuk Seri menang, ia tidak beri apa-apa perubahan kerana Datuk Seri kini berada dalam pembangkang.
MOHAMAD: Dalam pengurusan kerajaan, tidak kisah kawasan itu pembangkang atau kerajaan. Contohnya, di Negeri Sembilan Parlimen Seremban dan Rasah secara tradisinya kawasan pembangkang. Tapi saya tidak pernah mengetepikan pembangunan di kawasan itu. Kita buat sama rata dan peruntukan memang ada dalam bajet. Jadi tak timbul jika saya bukan dalam kerajaan, saya tak boleh buat apa-apa. Bahkan saya boleh buat banyak lagi untuk pastikan kerajaan hari ini sentiasa kerja kuat dan pastikan dasar mereka dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Saya akan jadi penyemak kepada prestasi masing-masing.
Bagaimana dengan manifesto Datuk Seri?
MOHAMAD: Bagi saya PRK tak perlu ada manifesto, yang perlu adalah PRU. Kalau ada pun sekadar janji. Tapi, saya tak suka berjanji dan suka bekerja. Yang tak betul, saya betulkan dan kurang saya cukupkan. Itu yang perlu kita lakukan dan yang penting, perkhidmatan kepada penduduk. Adalah lebih baik pengundi DUN Rantau beri kepercayaan kepada saya kerana saya orang sini dan tinggal di sini. Tambahan pula saya sekarang tidak lagi berkhidmat sebagai menteri besar dan hari-hari ada di sini.
Ada yang kata PH lagi risau dengan ‘Tok Mat’ berbanding UMNO/BN.
MOHAMAD: Saya tak tahu itu. Tapi biasalah, PH tahu saya kini sebagai ‘kapten kapal’. Jadi dia sasarkan saya. Macam dulu dia sasar Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekarang giliran saya pula jadi sebahagian lapang sasarnya.
Sokongan di media sosial terhadap Datuk Seri sangat positif sehingga ada mengatakan Datuk Seri sebagai bakal Perdana Menteri. Adakah Datuk Seri selesa?
MOHAMAD: Saya pun tak pasti kerana tak sempat tengok media sosial, sibuk berkempen. Kalau sokongan baik, saya bersyukur kerana saya perlu bantuan semua untuk pastikan UMNO dan BN dapat bangkit semula selepas ambil kira kesilapan kita lalu. Saya buat secara ikhlas nak pastikan parti bangkit semula. PRU14 bukan pengakhir kepada cerita. Ada lagi PRU akan datang. Jadi, jangan putus asa.
Apakah harapan dan nasihat kepada pengundi DUN Rantau?
MOHAMAD: Berikan kepercayaan kepada saya untuk terus jadi wakil rakyat di DUN Rantau ini. Saya akan terus mainkan tugas sebagai ADUN dan sememangnya selok belok kerajaan Negeri Sembilan dalam pengetahuan saya. Maka, apa jua isu dan masalah rakyat, akan saya bawa terus untuk diberi perhatian dan tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!