Seorang maut, dua parah angkara pandu laju
PORT DICKSON - Seorang lelaki maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona dan Toyota Vios di Kilometer 24 Jalan Sua Betong-Air Kuning pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Teng Wei Luen, 34 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian Wei Luen yang memandu Toyota Vios dalam perjalanan menghala ke Air Kuning.
"Namun dia yang dipercayai memandu laju dan secara melulu telah merempuh Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah bertentangan.
"Kejadian itu mengakibatkannya meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Persona dan seorang penumpang lelaki berusia 40 tahun cedera parah," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.
Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
"Buat masa ini waris Wei Luen masih belum dapat dihubungi dan orang awam yang mengenali mangsa diminta menghubungi polis.
"Sesiapa yang melihat kejadian juga diharap dapat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Syakinah Ahmad di talian 017-9013429 atau 06-6472222 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!