PRU15: UMNO, Pas Selangor bersiap sedia jika bubar DUN

(Kiri) Roslan Shahir, Juwairiya, Abdul Rahman
(Kiri) Roslan Shahir, Juwairiya, Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Pas Selangor dalam keadaan bersiap sedia sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang enggan membubarkan DUN dalam masa terdekat baru-baru ini, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata, ia adalah bukti pihak berkenaan khususnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bersedia menghadapi PRU15.

Menurutnya, masalah banjir yang dijangka berlaku di negeri tersebut adalah satu cara kerajaan PH mengaburi mata rakyat dan mengalihkan pandangan daripada isu PRU15.

"Di Selangor kita sedia maklum bahawa PH masih dalam keadaan kelam-kabut dan ada masalah dalaman, mungkin disebabkan faktor itu mereka belum bersedia untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

"Untuk mengaburi mata rakyat, mereka mengalihkan pandangan isu PRU15 yang terdekat ini dengan masalah banjir.

"Rakyat Selangor sendiri pun dah dapat menilai kerajaan PH yang ada sekarang dan akan mengubahnya pada PRU15 tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir turut memaklumkan bahawa jentera politiknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 sejak Jun lalu, khususnya pembubaran DUN.

Ujarnya, persiapan jentera daripada pihaknya sentiasa dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jentera pilihan raya Pas Selangor juga akan dilancarkan oleh Timbalan Presiden Pas, YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Oktober depan.

"Jika UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen awal, kami di Selangor telah bersedia. Terpulang padanya untuk memilih dan memutuskan tarikh.

"Pas Selangor yakin Perdana Menteri kita cukup matang memilih tarikh yang sesuai mengambil kira segala kemungkinan tanpa memudaratkan kehidupan Keluarga Malaysia bawah pimpinannya," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen dan DUN yang dilihat menggangu persiapan kerajaan untuk menghadapi banjir menjelang November nanti.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada keadaan semasa dan tidak memaksa rakyat untuk keluar mengundi sekiranya banjir melanda negeri tersebut.

"Jentera kerajaan memberi tumpuan penuh untuk (hadapi) banjir, jadi bagaimana pada masa sama, kita memaksa rakyat untuk keluar mengundi?

"Ini tidak adil kepada rakyat dan saya rasa fokus kerajaan sudah lari daripada yang sepatutnya untuk melihat keadaan semasa.

"Rakyat dalam keadaan bimbang, kerajaan pusat ada pilihan, kenapa nak paksa rakyat (keluar mengundi) yang tersepit dalam bencana," katanya.

Pada Sabtu, Ismail Sabri seperti memberi bayangan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan akan bertemu 'Top Five UMNO' dalam masa terdekat bagi membincangkan tarikh PRU15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!