JKM akan bertemu keluarga mangsa culik
PASIR MAS - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia menghantar kaunselor untuk membantu keluarga wanita mangsa culik di Tumpat.
Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang memahami trauma dihadapi keluarga mangsa akan meminta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertemu keluarga terbabit.
"Saya memahami trauma yang dihadapi terutama ibu, anak dan adik-beradik mangsa dan meminta kaunselor bertemu mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelaksanaan Latih Amal/Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)JKM Negeri Kelantan di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JKM, Said Sidup.
Siti Zailah bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan perkara lain kerana masih dalam siasatan polis.
"Saya sangat bersimpati dan mendoakan semoga kes ini dapat diselesaikan dengan kerjasama semua agensi termasuk pihak berkuasa Thailand," katanya.
Beliau juga mahu masyarakat mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain berharap mangsa dipertemukan dengan keluarga.
Siti Zailah turut menasihatkan pasangan yang mempunyai masalah dalam keluarga mengikuti program yang dilaksanakan JKM selain berkongsi ketidakselesaan menjalani kehidupan harian.
Bercakap mengenai kanak-kanak lelaki yang didera ibunya, Siti Zailah memberitahu kanak- kanak berkenaan kini dalam proses perintah mahkamah untuk ditempatkan di Rumah Kanak-kanak JKM.
Bagaimanapun katanya, kanak-kanak berusia lapan tahun itu kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut.
"JKM akan memberi kaunseling dan sokongan psikologi dan dalam masa sama sedang menyiapkan laporan mengenai berkaitan," katanya.
Media pada Sabtu melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera yang tular di media sosial dipercayai berlaku enam bulan lalu.
Video berkenaan memaparkan seorang wanita membaling meja kayu kepada anak lelakinya berusia lapan tahun.
Suspek ditahan di sebuah rumah di Kok Lanas kira-kira jam 3.30 petang Sabtu selepas bekas suaminya yang juga bapa mangsa membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!