Kad merah musnahkan impian skuad B-19 negara
PENGENDALI skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali Waras menyifatkan layangan kad merah kepada pemain memusnahkan impian untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata dengan Korea Selatan di Mongolia pada Ahad.
Dalam aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia B-20 itu menyaksikan skuad negara dibenam Korea Selatan 6-2 dan peluang untuk menempah slot ke Uzbekistan tahun depan dilihat samar.
Pemain remaja negara, Ubaidullah Shamsul yang dilihat cuba membantah keputusan penjaga garisan memberikan sepakan sudut kepada Korea Selatan pada minit ke-67 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah.
Hassan berkata, para pemain sudah mendapat rentak untuk merapatkan jurang jaringan, namun layangan kad merah itu dilihat 'membunuh' semangat mereka untuk mencari jaringan penyamaan.
"Tak sepatutnya kita kena kad merah kerana ia mengganggu rentak perlawanan kerana situasi ini memerlukan kekuatan semua pemain untuk mencari gol.
"Keputusan itu memusnahkan semua perancangan kerana di babak kedua selepas mendapat gol, kita bermain dengan baik, namun kad merah merosakkannya.
"Saya sentiasa ingatkan pemain supaya sentiasa berwaspada supaya tidak berhadapan masalah seperti ini (kad merah)," katanya.
Nasib skuad B-19 negara cetus tanda tanya apabila tewas kepada Korea Selatan 6-2 pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20.
Gol kemenangan skuad Korea Selatan dihasilkan menerusi hatrik Lee Young-jun, manakala satu jaringan sumbangan Bae Junho dan Lee Seungwon meledak dua gol.
Gol skuad negara pula dihasilkan oleh Adam Farhan Faizal dan Aliff Izwan Yuslan dengan perlawanan berkesudahan 6-2.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan mengesahkan slot ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan selaku juara Kumpulan E, manakala Malaysia yang muncul naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada skuad negara layak atau tidak.
Juara kumpulan akan layak secara automatik dan lima naib juara terbaik dari 10 kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!