'Elak adakan PRU15 ketika banjir'

Siti Zailah. - Foto Bernama.
Siti Zailah. - Foto Bernama.
A
A
A

PASIR MAS - "Kalau boleh elak, jangan buat masa banjir," itu kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff ketika mengulas mengenai ura-ura Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku dalam masa terdekat tahun ini.

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementeriannya kini sedang memberi fokus untuk menambah baik kaedah penyediaan kemudahan, keperluan dan keselamatan mangsa banjir.

"Ura-ura untuk mengadakan PRU15 sudah lama dan tarikh sebenarnya tiada siapa yang tahu. Kita doakan tidak berlaku pilihan raya ketika banyak agensi membuat persediaan musim tengkujuh.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sangat memahami dan lebih arif daripada kami mengenai situasi yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Simulasi dan Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan di sini pada Ahad.

Siti Zailah (depan) tiba pada Program Simulasi dan Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan di sini pada Ahad.
Siti Zailah (depan) tiba pada Program Simulasi dan Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan di sini pada Ahad.

Untuk rekod, Malaysia dijangka berdepan musim Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November depan.

Bagaimanapun menurut Siti Zailah, pihaknya akan merancang persediaan sesuai jika berlaku juga PRU15 dalam tempoh itu selain yakin kerajaan akan bersedia dengan situasi banjir dan pilihan raya serentak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa pada Sabtu menegaskan sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Siti Zailah berkata, mungkin akan berlaku kesukaran dan kesan kepada usaha menyelamat jika PRU15 dilaksanakan.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya sedang menambah baik prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tambah beliau, mangsa banjir perlu melalui ujian saringan Covid-19 dan disediakan pelitup muka selain menempatkan mereka yang bergejala di ruangan isolasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!