Calon PRU15 dimuktamadkan bersama kepimpinan negeri
PADANG TERAP - Kepimpinan tertinggi UMNO akan memuktamadkan senarai akhir calonnya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bersama kepimpinan parti dari setiap negeri selepas menerima senarai tersebut dari seluruh negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, proses tersebut adalah langkah normal yang dilakukan oleh parti tersebut untuk memilih calon yang berpeluang menang pada PRU akan datang.
"Senarai calon dikemukakan kepada ibu pejabat melalui negeri-negeri dan finalnya nanti adalah apabila pengerusi perhubungan UMNO dan BN juga akan duduk bersama kepimpinan di peringkat tertinggi.
"Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah misalnya beliau bawa senarai calon dan kita bincang dengan beliau. Negeri Perak, Perlis dan negeri lain juga kita bincang dan muktamadkan bersama," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO 'Keluargaku Pengundi BN' di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang yang turut dihadiri oleh kepimpinan Veteran UMNO negeri Kedah dan pusat.
Mahdzir yang juga Ketua Bahagian UMNO Padang Terap berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Ahad bahawa parti itu sudah menerima senarai calon yang dicadangkan oleh 191 bahagian untuk bertanding pada PRU15
Menurutnya, proses tersebut sedang berjalan dan buat masa ini beliau tidak mempunyai maklumat penuh tentang jumlah senarai yang sudah diterima dari seluruh negara.
"Saya tak pasti, (jumlah senarai nama calon) itu di ibu pejabat UMNO. Tapi itu proseslah. Itu proses yang berlaku di sana, kita bincang dan kita akan tentukan sebab yang kemukakan senarai calon ini dari negeri.
"(Calon) biasa akan ambil yang muda, yang berumur. yang ada pengalaman, yang graduan, Itu ciri-ciri normal lah bila datang pilihanraya ini," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Mahdzir berkata, veteran UMNO boleh memainkan peranan dengan mengajak ahli keluarga masing-masing untuk mengundi parti tersebut pada PRU15.
Menurutnya, peranan tersebut dilihat cukup besar untuk membantu parti melalui tema yang digerakkan iaitu 'Keluargaku Pengundi BN'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!