Impian ke pusingan akhir Piala Asia B-20 tak kesampaian
SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara terpaksa melupakan hasrat untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan susulan kemenangan 6-0 Mongolia ke atas Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbatar pada petang Ahad.
Kemenangan besar luar jangka yang direkodkan Mongolia dalam aksi terakhir Kumpulan E itu menyaksikan pasukan tuan rumah itu merampas kedudukan kedua kumpulan dari Malaysia yang jatuh ke tangga ketiga.
Mongolia dan Malaysia berkongsi empat mata, namun pasukan tuan rumah memiliki kelebihan jaringan.
Nasib Mongolia sama ada layak atau tidak ke pusingan akhir kejohanan itu juga samar dan perlu menunggu keputusan keseluruhan daripada kumpulan lain.
Ini kerana berdasarkan format hanya lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan yang akan mendapat tiket ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mac 2023.
Korea Selatan yang muncul juara Kumpulan E selepas menewaskan Malaysia 6-2 pada sebelah tengah hari layak secara automatik ke pusingan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!