Kes amang seksual pendakwah selebriti sudah dirujuk DPP
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merujuk enam kertas siasatan berkaitan kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti kepada timbalan pendakwa raya pada Rabu lalu.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, empat kertas siasatan di Selangor dan dua kertas siasatan di Negeri Sembilan.
"Kesemuanya dengan cadangan agar suspek dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak (AKSTK)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Noorsiah berkata, terdapat satu kertas siasatan di Kuala Lumpur masih dalam tindakan selanjutanya.
"Setakat ini sebanyak tujuh laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti berkenaan. Suspek kini telah dibebaskan dengan jamin polis," katanya.
Pada 10 September lalu, media melaporkan seorang penceramah bebas ditahan polis untuk membantu siasatan kes melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur, dipercayai selepas berkenalan dengan mangsa melalui program motivasi di sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilapor berkata, pihaknya menerima empat laporan iaitu dua di Klang Selatan, serta masing-masing satu di Shah Alam dan Kajang berhubung kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!