Tinjau pendapat pengundi Malaysia

Kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 bermula hari ini hingga 9 Oktober depan.
Kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 bermula hari ini hingga 9 Oktober depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kolaborasi julung kali tiga firma kajian bersama lima organisasi media utama negara menjalankan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 satu titik mula yang baik dalam berkongsi input dan dapatan kajian tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila berpeluang terlibat secara langsung dalam kolaborasi berkenaan yang bakal mencungkil kehendak dan harapan sebenar pengundi.

“Ini pertama kali kami dilibatkan dalam projek seumpama ini dan kali pertama juga dalam sejarah tiga firma kajian bekerjasama secara langsung dengan pihak media. Berbeza dengan sebelum ini di mana banyak kajian dilakukan secara bersendirian antara firma-firma,” katanya pada Ahad.

ILHAM Centre, O2 Research dan Centre for Malaysian Chinese Studies bekerjasama dengan lima organisasi media iaitu Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star, Astro Awani dan Malaysia Nanban dalam menjalankan kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 bermula hari ini hingga 9 Oktober depan.

Kolaborasi media pelbagai bahasa, platform dan fokus pembaca ini adalah inisiatif untuk meninjau pendapat rakyat Malaysia mengenai pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut Hisommuddin, tiga firma kajian terlibat mempunyai segmen tertentu yang menjadi fokus utama dalam kaji selidik berkenaan.

“Kami di ILHAM Centre diberi tugasan menelusuri dan membuat eksplorasi khususnya terhadap segmen pengundi Melayu Muslim. Apa yang mereka mahukan berkenaan politik dan masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Begitu juga O2 Research dan Malaysian Chinese Studies mempunyai segmen mereka tersendiri.

Artikel Berkaitan:

“Segmen-segmen ini adalah spesifik serta lebih mendalam dan jika kesemuanya digabung jalin dan dihebahkan menerusi lima organisasi media terlibat, pasti akan memberi impak terbaik terutama membangkitkan kesedaran pengundi dalam memainkan peranan dan menunaikan hak mereka dalam proses demokrasi negara,” jelasnya.

Ujar beliau, ILHAM Centre mengekalkan metodologi konvensional dalam menjalankan kaji selidik iaitu menggunakan borang dan secara bersemuka dengan responden.

“Ada firma kajian yang menggunakan metodologi hibrid dan sepenuhnya atas talian namun kami di ILHAM Centre kekal menggunakan kaedah kajian secara bersemuka di lapangan dan sampel kaji selidik ini bakal diambil di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kami menyasarkan sekitar 1,500 ke 1,800 sampel di seluruh Malaysia untuk mewakili bacaan dan membuat bacaan tepat,” katanya sambil menambah pembentangan hasil dapatan kaji selidik dijangka selesai pada 15 Oktober depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!