Arsyad curi tumpuan, Johor kuasai kayak
OLAHRAGA sekali lagi menjadi tumpuan apabila atlet Johor, Muhammad Arsyad Md Saat memenangi pingat emas 200 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 dalam perlumbaan final penuh dramatik di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Kejayaan dicipta Muhammad Arsyad menyaksikan beliau berjaya memperbaiki pencapaiannya meraih perak 100m Jumaat lalu, dengan menewaskan pemenang acara itu yang juga jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak.
Berlari di lorong empat, Muhammad Arsyad yang dibayangi kelibat Muhammad Azeem di lorong lima, berjaya mempamerkan larian bertenaga sebelum memintas pencabarnya itu pada 10m terakhir menuju garisan penamat dengan mencatat masa 21.02 saat (s) selaku yang terpantas.
Muhammad Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan terpaksa berpuas hati merangkul perak dengan catatan 21.03s sementara gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi dengan masa 21.18s.
Terdahulu, suasana Stadium Nasional pada hari terakhir saingan olahraga meriah dengan perlumbaan final 200m wanita, menyaksikan atlet Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal membawa pulang emas selepas menjadi yang terpantas dengan catatan 24.83s.
Beliau menewaskan Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah yang meraih perak dengan masa 25.14s manakala KM Darshini dari Pahang terpaksa akur dengan gangsa setelah mencatat 25.74s.
Sementara itu, sukan gimnastik artistik yang memasuki hari kedua menyaksikan gimnas Pulau Pinang, Ng Chun Chen mencipta sensasi selepas merangkul dua emas masing-masing menerusi all-round individu lelaki dan berpasukan lelaki.
Pingat emas diraih itu adalah yang pertama bagi kategori individu dalam tiga penampilannya di pentas Sukma selepas membantu Pulau Pinang meraih emas acara berpasukan pada edisi sebelumnya.
Dalam pada itu, Johor membolot lima daripada enam emas ditawarkan pada hari pertama sukan kayak masing-masing dalam acara K1 1,000m lelaki, K2 1,000m lelaki, K4 1,000m lelaki, K2 1,000m wanita dan K4 1,000m wanita.
Kontinjen Johor terus megah mendahului kedudukan kutipan pingat dengan mengumpul keseluruhan 29 emas sementara Sabah kedua (13 emas) dan Terengganu ketiga dengan 12 emas.
Hari ini, tiga sukan akan membuka tirai saingan iaitu e-sukan yang menawarkan lima emas, renang (38 emas) dan angkat berat sebanyak 16 emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!