[VIDEO] Letusan gunung berapi lumpur biasa berlaku: Pakar geologi
KOTA KINABALU - Letusan gunung berapi memuntahkan lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, yang tular di media sosial pada malam Ahad adalah perkara biasa, kata Pakar Geologi Sabah, Profesor Dr Fekix Tongkul.
Katanya, fenomena itu cenderung berlaku berikutan gegaran gempa bumi di kawasan berdekatan tetapi menolak kemungkinan ia disebabkan gempa bumi di Taiwan.
"Fenomena ini adalah biasa. Ia berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.
Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif), kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa.
"Gempa bumi di Taiwan agak jauh, biasanya gegaran gempa bumi berdekatan yang cenderung mencetuskan fenomena ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian letusan gunung berapi lumpur yang memuntahkan lumpurnya pada Ahad di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
Kejadian itu sempat dirakam oleh pemandu pelancong yang bertugas membawa sekumpulan pelancong di kawasan berkenaan.
Dua video masing-masing berdurasi 11 dan 46 saat memaparkan fenomena letusan sebuah gunung berapi lumpur yang mengeluarkan lumpur dan letupan kecil di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!