Kontraktor didakwa buat komunikasi jelik terhadap penjawat awam
SEPANG - Seorang kontraktor pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang di sini pada Isnin atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap penjawat awam, Februari lepas.
Wong Hon Mun, 40, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Tertuduh yang masih bujang didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks berserta video berdurasi kurang seminit yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitter miliknya, ‘@mevius_m_’ pada 5.54 petang, 28 Februari 2022.
Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya pada kira-kira 2.30 petang pada 1 Mac lepas.
Kandungan video berserta teks yang mengandungi kata kesat itu antara lain menyebut ‘Doakan kepada tuhan semua anggota polis mati dalam kemalangan jalan raya, semua penjawat awam isteri sedang tunggu bersalin anak semua mati dalam hospital’.
Hon Mun didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Hon Mun yang tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana hanya menerima gaji sekitar RM2,000 sebulan selain tidak bekerja ketika ini.
Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!