Sabah Malaysia My Second Home dilancar tidak lama lagi

Hajiji Noor - Foto Bernama
Hajiji Noor - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Sabah akan melancarkan program Sabah Malaysia My Second Home (SMM2H) tidak lama lagi.

Program itu akan menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang berhasrat untuk berpindah dan tinggal di negeri ini.

Beliau berkata, kabinet negeri telah meluluskan program SMM2H untuk dilancarkan sebaik beberapa perincian terakhir diputuskan.

"Program Sabah tidak akan mengikut syarat yang ditetapkan oleh MM2H persekutuan. Dengan SMM2H kami sendiri, kami menyasarkan untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang berhasrat untuk berpindah dan tinggal di Sabah.

"Kami berharap untuk melihat warga asing dan bakat bernilai tinggi berpindah ke Sabah dan mewujudkan manfaat ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hajiji berkata, setakat ini Sabah kekal konsisten dari segi menarik pelaburan asing.

"Ini susulan negeri ini telah mengambil peluang daripada pelbagai sektor di seluruh negeri. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menyenaraikan Sabah sebagai memperoleh RM9.9 bilion pelaburan asing mulai Januari hingga September 2022, sekali gus meletakkan Sabah pada ranking ketiga tertinggi dalam negara.

"Sabah akan meningkatkan lagi momentum ini dan kami yakin Sabah sedang dan akan terus menjadi destinasi tarikan untuk pelaburan. Kami berusaha untuk menjadi mesra pelabur dan kerajaan negeri akan memudahkan semua halangan untuk melancarkan pelaburan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri itu juga memuji Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) kerana berjaya mengumpulkan pemaju yang berkongsi kepakaran dan sumber mereka untuk membentuk dan mengembangkan industri tersebut dan ekonomi.

"Saya mahu memuji SHAREDA dan ahlinya kerana peranan yang anda mainkan sebagai rakan yang menyokong, berkongsi pandangan dan input untuk membentuk dasar kerajaan dan pembangunan hartanah dan perumahan.

"Anda telah menjadi barisan hadapan pembinaan negara bangsa menerusi kerja yang anda lakukan. Anda adalah aset penting negara dan saya mahu melihat SHAREDA meningkatkan lagi usaha untuk menjadi lebih baik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!