Padah buat aksi 'wheelie' dan 'superman'
PARIT BUNTAR - Padah membuat aksi 'wheelie' dan 'superman', tiga remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pantai, Tanjung Piandang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, ketiga-tiga remaja itu dikesan menunggang motosikal jenis Yamaha LC dan Y15 serta Honda EX5 dalam keadaan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
"Siasatan mendapati dua remaja menunggang dengan aksi menguji kelajuan manakala seorang lagi remaja membuat aksi 'wheelie'.
"Ketiga-ketiga mereka ditahan sekitar jam 7 petang di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, sebanyak 70 motosikal diperiksa dalam operasi yang berlangsung selama empat jam itu dan empat daripadanya telah disita.
"24 saman telah dikeluarkan telah dikeluarkan dengan ubah suai motosikal menjadi kesalahan tertinggi iaitu tujuh saman.
"Selain itu, empat saman masing-masing dikeluarkan bagi kesalahan nombor pendaftaran kenderaan, tiada cermin sisi dan tidak memakai topi keledar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!