[VIDEO] Istiadat pemakaman negara untuk Ratu Elizabeth II

Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II di Dewan Westminster, Istana Westminster, London. - Foto Yui Mok/Pool via Reuters
Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II di Dewan Westminster, Istana Westminster, London. - Foto Yui Mok/Pool via Reuters
A
A
A

LONDON - London bersedia untuk melaksanakan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin, istiadat pemakaman terbesar di dunia sejak tempoh beberapa dekad.

Jasad mendiang Ratu akan dimakamkan di Westminster Abbey, lapor Agensi Anadolu (AA).

Perarakan membawa jasad mendiang Ratu dari Westminster Hall di Istana Westminster ke Biara Westminster akan dijalankan selepas keberangkatan tiba Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla.

Perarakan dari Parlimen ke Westminster Abbey akan bermula pada 10.35 pagi waktu tempatan.

Istiadat pemakaman diketuai Dekan Westminster, David Hoyle, dijadual bermula 11 pagi.

Turut hadir pada istiadat itu kerabat diraja serta sekitar 100 ketua negara, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, serta wakil pembesar dari 200 negara.

Orang ramai akan diminta bertafakur selama dua minit sebaik Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby menamatkan ucapannya.

Istiadat pemakaman negara itu dijangka menarik kunjungan ratusan ribu orang ke London dan akan disiarkan secara langsung di televisyen serta di skrin besar yang dipasang di Hyde Park.

Artikel Berkaitan:

Jasad Ratu Elizabeth II akan dimakamkan pada 7.30 malam (1830GMT) bersebelahan makam suaminya Duke of Edinburgh, Putera Phillip, dan istiadat itu akan hanya dihadiri raja dan kerabat diraja di Gereja Memorial King George VI.

Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat 8 September lalu pada usia 96 tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!