MDDM serah butiran individu guna gelaran palsu kepada polis
SHAH ALAM - Majlis Dato dan Datuk Malaysia (MDDM) telah menyerahkan butiran individu yang menggunakan gelaran dan anugerah palsu kepada polis.
Pesalah berdepan tindakan di bawah Akta Anugerah 2017 (Akta 787) kerana menggunakan gelaran dan anugerah palsu atau tidak diiktiraf untuk menganjurkan acara dan aktiviti.
Presiden MDDM, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, pihaknya bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Bukit Aman baru-baru ini.
“Kami berharap pihak polis akan menyokong langkah itu bagi memastikan Akta 787 dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara,” katanya dalam laporan The Star pada Isnin.
Tambah Awalan, senarai itu disusun daripada pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap suspek yang menggunakan gelaran palsu.
“Ia satu kesalahan yang serius kerana sama dengan menipu serta menghina raja-raja kita. MDDM telah menerima banyak maklumat daripada orang ramai sejak penubuhannya.
“Sila maklumkan kepada kami dan laporan polis akan dibuat selepas kami menjalankan siasatan.
“Ada di antara mereka (pesalah) menjadi sangat terbuka dan kurang ajar. Kami berharap mereka akan menghentikan tindakan yang dilakukan, sebelum majlis dan pihak berkuasa bertindak,” tegasnya.
Jika sabit kesalahan, pesalah di bawah akta itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!