Tiada pemeriksaan imigresen untuk motosikal di Woodlands esok

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Foto fail Bernama
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Foto fail Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) memaklumkan pihaknya tidak menjalankan pemeriksaan pelepasan imigresen ke atas motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands selepas 11 malam, 20 September.

Ia susulan penutupan zon ketibaan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor mulai 11.59 malam pada 20 September hingga 4 pagi 21 September bagi kerja-kerja penggantian papan tanda, menurut ICA dalam maklumat terkini di Facebook pada Isnin.

"Penunggang motosikal yang merancang untuk berlepas dari Singapura, dinasihat menggunakan Pusat Pemeriksaan Tuas sebagai ganti,” menurut ICA sambil menambah bahawa penunggang motosikal boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook pihak berkuasa berkenaan.

Pejabat Imigresen BSI sebelum ini mengumumkan bahawa Jabatan Kerja Raya daerah Johor Bahru akan melaksanakan penggantian dan penambahan papan tanda baharu, termasuk papan tanda elektronik, di semua lorong motosikal, di Zon A, B dan C.

"Lorong akan ditutup pada hari dan masa tersebut. Laluan alternatif ialah melalui Kompleks Sultan Abu Bakar," menurut pejabat Imigresen BSI dalam akaun Facebook rasminya pada 14 September. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!