Ambil serius mangsa penipuan dalam talian

Setiap hari ada sahaja ‘helah’ yang dilakukan oleh scammer bagi memperdaya mangsa melibatkan jumlah wang yang banyak. - Foto hiasan
Setiap hari ada sahaja ‘helah’ yang dilakukan oleh scammer bagi memperdaya mangsa melibatkan jumlah wang yang banyak. - Foto hiasan
A
A
A

KERAJAAN perlu mengambil serius mengenai isu melibatkan mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa kini.

Ini kerana, setiap hari ada sahaja ‘helah’ yang dilakukan oleh scammer bagi memperdaya mangsa melibatkan jumlah wang yang banyak.

Pada 14 Mac lalu, semasa persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.61 bilion yang dilaporkan dari 2019 hingga tahun lalu.

Katanya, kes belian dalam talian mencatatkan kes tertinggi sebanyak 18,857 kes, diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes.

Oleh yang demikian, bagi menangani penipuan dalam talian, kerajaan digesa agar mengetatkan lagi undang-undang bagi memberi pengajaran kepada scammer terbabit.

Selain itu, cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pada Isnin agar disediakan mekanisme pampasan seperti dana pemulihan kepada mangsa penipuan dalam talian adalah satu langkah baik.

Fahmi berkata, dana itu membantu mangsa mendapat bantuan pampasan sebaik mungkin melalui pindaan akta-akta berkaitan.

“Contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta 642) supaya PIDM dapat menjamin atau menyediakan insurans dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi juga menggesa agar kerajaan mengambil langkah mewajibkan pihak bank dan institusi kewangan yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian contohnya seperti e-wallet untuk mendedahkan kes penipuan dan kecurian di dalam buku laporan tahunan masing-masing

"Ia supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka,” katanya.

Terdapat juga cadangan lain dikemukakan oleh Fahmi dan perkara ini seharusnya diambil perhatian oleh kerajaan kerana ia dapat melindungi pengguna daripada scammer yang seringkali menipu pengguna.

Jika kerajaan tidak mengambil tindakan yang segera, dikhuatiri semakin ramai akan menjadi mangsa di negara ini dan berputih mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!