'Tidak serius bentuk Harimau Muda berdaya saing'
KETIDAKSERIUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam melicinkan pembangunan peringkat akar umbi disifatkan antara punca skuad pelapis negara gagal memberikan daya saing sebenar setiap kali beraksi di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia.
Malah menurut penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa ini diburukkan lagi dengan pencapaian skuad Bawah 19 (B-19) tahun, Hassan Sazali Mohd Waras yang terkandas di peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia B-20 2023 Uzbekistan 2023 di Mongolia pada Ahad.
“Sejujurnya tidak dinafikan kita memiliki pelan pembangunan bola sepak yang serba sempurna berlandaskan Peta Hala Tuju F:30 sebelum ini.
“F:30 pula dirangka secara inklusif mengikut beberapa fasa, namun kita perlu kembali semula kepada realiti bahawa setiap produk yang melibatkan pembangunan perlu diuji secara konsisten bagi memastikan keberkesanannya dalam menghasilkan keputusan positif.
“Kegagalan di Mongolia pada Ahad sememangnya sudah boleh dijangka kerana tiada pendedahan kompetitif secukupnya diberikan kepada pemain pelapis walaupun cemerlang dalam dua kejuaraan sebelum itu ini bola sepak moden seharusnya kita perlu serius pembangunan akar umbi apabila memasuki fasa saingan melibatkan negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Harimau Muda B-19 negara mengakhiri kempen kelayakan kumpulan E di tempat ketiga dengan mengumpul empat mata hasil keputusan seri 1-1 berdepan Mongolia, tewaskan Sri Lanka 3-0, sebelum diaibkan 2-6 Korea Selatan.
Kekalahan kepada Korea Selatan melenyapkan terus harapan skuad negara untuk sekurang-kurangnya bergelar lima naib juara terbaik apabila Mongolia membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan selepas itu.
Kepulangan awal anak buah Hassan Sazali juga menyaksikan salah satu cabang Peta Hala Tuju F:30 untuk menyaksikan skuad B-19 negara mara ke Piala Dunia B-20 2023 tidak kesampaian.
Untuk rekod, Peta Hala Tuju F:30 dilancarkan FAM pada 2018 dengan sasaran utama menjadikan pasukan negara satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030
Untuk rekod saingan Piala Asia B-20 menawarkan empat tiket automatik ke Piala Dunia B-20 untuk pasukan yang mara ke separuh akhir.
Sekiranya tuan rumah Indonesia berjaya ke separuh akhir, maka pasukan yang tewas di peringkat suku akhir masih berpeluang merebut slot tersebut.
Pada masa sama Mohd Sadek menegaskan merupakan satu kerugian sekiranya pembangunan bakat dalam kalangan tidak dioptimumkan menerusi pelbagai perlawanan kompetitif.
“Ya, sememangnya pandemik Covid-19 sebelum ini menjejaskan persiapan pasukan negara dengan ketiadaan Piala Presiden dan Piala Belia, namun bagaimana pula dengan negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand yang boleh dikatakan cemerlang di pusingan kelayakan?
“Kita berada dalam kerugian apabila pemain pelapis tidak diberikan ruang secukupnya untuk mempertajam dan memahirkan kemahiran kendiri bola sepak masing-masing secara konsisten di pentas sepatutnya.
“Tiada pelan kontingensi daripada FAM sebagai pilihan untuk mendedahkan dalam kontak memajukan dan mematangkan permainan pemain pelapis memerlukan kajian semula secara holistik.
“Sesuatu yang agak mengecewakan apabila pendekatan yang diperkenalkan dalam memperkasakan kembali skuad negara lebih terarah kepada jalan singkat seperti pemain naturalisasi dan warisan yang 'membunuh' bakat para pemain tempatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!