Percayakan suami boleh, tapi tetap kena selidik juga
SEJAK akhir-akhir ini, nak baca berita pun Merak Jalanan jadi takut. Apa tidaknya, ada macam-macam kes mengerikan berlaku di negara kita.
Tapi yang paling ‘seram’ ialah kes penculikan ejen produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang dilarikan tiga lelaki minggu lepas di Wakaf Bharu, Kelantan.
Selang beberapa hari, muncul pula berita pesara warga emas tembak isteri dan kemudian dirinya sendiri sehingga kedua-duanya meninggal dunia di Jerantut, Pahang.
Kedua-dua kejadian ini, walaupun berlainan motif namun ada satu persamaan iaitu penglibatan suami di sebalik musibah yang menimpa isteri.
Siasatan awal mendapati, rupanya suami Rosnazirah yang kini dalam tahanan reman terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah. Mangsa pula diyakini dilarikan jauh ke negara sempadan.
Dalam kes kedua, punca isteri ditembak dipercayai kerana suaminya tidak berpuas hati mangsa enggan memberikan agihan wang hasil jualan tanah.
Nampak betapa kaum wanita kini tidak selamat kerana siapa sangka, orang yang selama ini sebantal, sebilik, serumah dan menjadi manusia paling dipercayai, meletakkan diri mereka dalam bahaya.
Tambah menyedihkan, dalam kedua-dua kes ini, mangsa tidak dapat diselamatkan.
Bapa dan anak perempuan Rosnazirah diacukan pistol oleh tiga lelaki yang menculiknya, manakala wanita warga emas itu tidak mampu berbuat apa-apa selepas ditembak dan cedera parah di bahagian rusuk sebelah kiri sehingga mengambil nyawanya.
Merak Jalanan rasa sudah sampai masa kaum wanita lebih berjaga-jaga dengan suami sendiri. Sentiasa ambil tahu jika curiga dengan perlakuan pasangan.
Cepat-cepat adukan kepada pihak berkenaan, ahli keluarga terdekat atau sahabat baik jika berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Sepatah kata mat saleh, trust, but verify atau percaya boleh, tapi dalam masa yang sama selidiklah juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!