UiTM tubuh Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menubuhkan Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa untuk bertindak serta-merta mencari resolusi yang terbaik bagi membantu mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa.
UiTM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pihak UiTM amat prihatin dan mengambil berat perihal kebajikan mahasiswa, susulan isu penempatan mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan kampus UiTM.
Menurut kenyataan itu, UiTM telah mewujudkan portal rumah sewa Non Resident (NR) di https://nr.uitm.edu.my, bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.
"Selain untuk mencari rumah sewa, platform ini juga boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan rumah sewa oleh tuan rumah.
"Dalam konteks ini, pengurusan NR UiTM turut membuat tinjauan secara berkala yang berkaitan dengan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR,” katanya.
Pada masa yang sama, UiTM berkata, pihaknya juga menyediakan 107,000 tempat di kolej-kolej kediaman, dengan penawaran 34,000 tempat kepada pelajar-pelajar baharu Diploma dan Ijazah Sarjana Muda; 52,000 tempat kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat kepada pelajar yang sedang merayu kolej kediaman."Permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 hingga 23 September dan keputusan permohonan e-Rayuan Kolej akan dikeluarkan mulai 28 September ini,” katanya.
Jelasnya, tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan adalah tertakluk kepada kriteria termasuk merujuk polisi penempatan UiTM; pelajar semester akhir dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 dan B40 dan pelajar Sabah dan Sarawak dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000.
UiTM berkata, Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa, sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi dengan cara yang terbaik serta berharap kepada semua mahasiswa agar kekal tenang dalam menghadapi situasi sekarang.
"Pihak UiTM akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan tidak akan mengambil mudah dengan sebarang perkara terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!