Bilangan semut dianggarkan 20 juta bilion

Anggaran bilangan semut di bumi didedahkan oleh sebuah jurnal saintifik pada Isnin. - Foto AFP
Anggaran bilangan semut di bumi didedahkan oleh sebuah jurnal saintifik pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A
WASHINGTON - Bilangan semut yang terdapat di bumi dianggarkan berjumlah 20 kuadrilion atau 20 juta bilion, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan oleh sebuah jurnal saintifik pada Isnin.

Menentukan populasi global semut adalah penting untuk mengukur kesan perubahan habitat serangga itu termasuk yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Semut memainkan peranan penting bagi menyebarkan benih, menjadi tuan rumah organisme dan berfungsi sama ada sebagai pemangsa atau mangsa.

Beberapa kajian sebelum ini telah pun cuba menganggarkan populasi semut global tetapi semuanya menyatakan jumlahnya jauh lebih kecil daripada 20 kuadrilion.

Dalam satu percubaan baharu untuk menganggarkan bilangannya, jurnal 'Proceedings of the National Academy of Sciences' (PNAS) mendedahkan tentang 465 kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik untuk mengukur bilangan semut di bumi.

Ia menggunakan dua teknik iaitu memasang perangkap yang menangkap semut dalam tempoh masa tertentu dan menganalisis bilangan serangga tersebut pada tompokan daun tertentu di atas tanah.

Walaupun tinjauan telah dijalankan di semua benua, beberapa wilayah utama mempunyai sedikit atau tiada data termasuk Afrika Tengah dan Asia.

Ketiadaan data atau maklumat yang sedikit menjadi sebabnya mengapa bilangan sebenar semut di seluruh dunia mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan itu, kata kajian tersebut seperti dilaporkan AFP.

Terdapat lebih daripada 15,700 spesies yang dinamakan dan subspesies semut yang ditemui di bumi setakat ini. - Agensi
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!