Belanda cari pakar penyelamat penalti

Louis van Gaal - Foto Agensi
Louis van Gaal - Foto Agensi
A
A
A

BELANDA mencari kelainan dalam membentuk skuad mantap apabila mengadakan sesi khas menguji penjaga gol dalam penentuan sepakan penalti minggu ini menjelang Piala Dunia Qatar akhir tahun ini.

Jurulatihnya, Louis van Gaal berkata, sebagai persediaan awal dia akan menyenaraikan empat penjaga gol untuk menentang Poland dan Belgium dalam saingan Liga Negara-Negara minggu ini.

Belanda memasang impian menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas dan mara ke pusingan akhir Jun depan.

Van Gaal bagaimanapun berkata, fokusnya adalah persiapan terakhir untuk Piala Dunia di Qatar pada November dalam saingan Kumpulan A menentang pasukan tuan rumah, Ecuador dan Senegal.

Beliau memanggil dua lagi penjaga gol untuk sesi khas menyelamatkan sepakan penalti.

"Saya sedang mencari penyelamat sepakan penalti terbaik dan kami sedang menguji semua penjaga gol," katanya tanpa menamakan penjaga gol berkenaan.

Van Gaal membuat kejutan pada Piala Dunia 2014 apabila menukar penjaga gol beberapa minit sebelum tamat masa tambahan pada aksi suku akhir menentang Costa Rica di Brazil.

Beliau membawa keluar Jasper Cillessen dan memasukkan Tim Krul, yang kemudiannya menyelamatkan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan berpihak Belanda.

Artikel Berkaitan:

"Saya sentiasa mencari kelebihan kecil dan sebab itu saya memberi perhatian khusus kepada isu ini.

"Kami mengimbas kembali masa lalu bagaimana penentuan sepakan penalti memainkan peranan besar di Piala Dunia," katanya.

Van Gaal akan menyenaraikan empat penjaga gol dalam skuad 26 pemainnya untuk Piala Dunia jika dibenarkan.

"Saya belum pasti lagi kerana FIFA belum memberi penjelasan kepada kami mengenai isu ini tetapi saya fikir ia logik untuk berbuat demikian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!