Capaian internet menyeluruh di Sarawak menjelang 2024
KUCHING - Kerajaan Persekutuan akan memastikan capaian internet menyeluruh di seluruh negeri Sarawak menjelang tahun 2024, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 dengan lebih 600 kampung di Sarawak, bakal mendapat akses capaian internet menggunakan teknologi satelit.
Beliau berkata, 600 kampung di Sarawak itu merupakan antara 1,400 kampung di seluruh negara, yang telah dikenal pasti sebagai kawasan capaian internet yang kurang memuaskan.
"Jika kita mahu tunggu 1,400 kampung itu untuk pasang menara dan fiber optik (untuk dapatkan internet) kita jangkakan akan ambil masa 10 tahun dan saya fikir rakyat tidak harus tunggu begitu lama.
"Sebab itu di bawah Jendela Fasa 2, capaian internet harus disegerakan dengan menggunakan teknologi satelit,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas majlis penyerahan PerantiSiswa di sini pada Selasa.
Pada majlis itu, seramai 411 pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak, menerima peranti tersebut dalam sesi pengagihan peringkat negeri Sarawak yang bermula pada Selasa.
Setakat Selasa, jumlah permohonan yang telah diluluskan untuk negeri Sarawak adalah seramai 7,400 pelajar.
Sementara itu, Annuar berkata, walaupun kos menyediakan akses capaian internet menggunakan teknologi satelit itu tinggi, namun kerajaan Persekutuan bersedia menanggung perbelanjaan itu.
Jelasnya, buat masa ini anggaran kos untuk program Jendela Fasa 2 juga belum lagi dimuktamadkan.
"Sekarang ini (Jendela Fasa 2) dalam proses untuk menyiapkan tender dan tender akan dipanggil tahun ini juga. Kita jangkakan pelaksanaan akan bermula pada 2023,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!