Runtuhan kuari: Pasukan penyelamat jumpa rangka manusia
IPOH - Rangka tulang manusia ditemui di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini pada Selasa dipercayai milik mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu, Mac lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, rangka berkenaan dijumpai bersama jengkaut oleh pasukan mencari dan menyelamat antara jam 11.45 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Benar, telah dijumpai pagi tadi, pasukan mencari dapat mengesan jengkaut digunakan mangsa diikuti penemuan beberapa tulang dan baju.
"Buat masa ini, kita belum pasti tulang berkenaan milik mangsa yang mana," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Polis sebelum ini memberi jaminan operasi mencari dua mangsa terbabit tidak dihentikan walaupun kerja-kerja pencarian belum membuahkan hasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!