Final AFF Suzuki: Polis beri amaran awal

Mazlan menunjukkan lokasi-lokasi penempatan anggotanya yang akan berkawal sepanjang berlangsung perlawanan akhir pertama Malaysia menentang Vietnam.
Mazlan menunjukkan lokasi-lokasi penempatan anggotanya yang akan berkawal sepanjang berlangsung perlawanan akhir pertama Malaysia menentang Vietnam.
A
A
A

TINDAKAN tegas akan dikenakan kepada penyokong sekiranya membawa barang terlarang ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Selasa ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, antara barang dilarang termasuklah mercun, bunga api, suar, laser dan senjata seperti parang.

Menurutnya, turut dilarang dibawa masuk ke dalam stadium adalah topi keledar, mancis, besi, kayu, minuman keras, payung serta tongkat.

"Ini sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium. Petugas keselamatan juga akan memeriksa badan serta beg penonton.

"Sebagai contoh, pada perlawanan separuh akhir pertama lalu, polis telah merampas suar daripada salah seorang penyokong," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, tadi.

Terdahulu, seramai 825 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan yang dianggarkan melibatkan kehadiran 90,000 penyokong.

Mazlan berkata, kawalan trafik akan dilakukan seawal jam 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

Katanya, anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenalpasti dan akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan sesak.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mazlan, orang ramai juga diingatkan supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan serta usah mencetuskan sebarang provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan yang boleh mengugat ketenteraman awam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket palsu untuk aksi final bola sepak Piala AFF Suzuki itu.

“Setakat ini tiada laporan penjualan tiket palsu namun polis akan ambil tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!