JPJ Perak kutip RM1.07 juta hasil lelongan kenderaan sita

Mohammad Yusoff
Mohammad Yusoff
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM1.07 juta hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, ia membabitkan 117 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di negeri ini.

"Pada siri lelongan awam kenderaan sita ini, sebuah kereta jenis Toyota Alphard mencatat nilai bidaan tertinggi RM32,000, manakala motosikal jenis Modenas Kriss menerima nilai bidaan terendah pada harga permulaan RM200,” katanya kepada pemberita selepas tamat sesi lelongan di sini pada Selasa.

Mohammad Yusoff berkata, lelongan pada Selasa menawarkan 47 kenderaan membabitkan 31 kereta, 13 motosikal dan tiga lori dan daripada jumlah kenderaan itu, 35 daripadanya boleh dilesenkan, manakala 12 kenderaan tidak boleh dilesenkan (skrap).

"Semua kenderaan yang dilelong telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pembida yang hadir perlu membeli buku lelongan awam berharga RM70 yang dibuka jualannya selama empat hari bermula 12 hingga 15 September lepas,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!