Jurufoto hilang punca pendapatan kerana tibi

Mohd Zamzuri berharap segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti sebelumnya.
Mohd Zamzuri berharap segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti sebelumnya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bapa kepada lima anak hilang punca pendapatan sejak empat bulan lalu selepas disahkan dijangkiti penyakit tuberkulosis atau tibi pada Jun lepas.

Mohd Zamzuri Daud, 38, merupakan jurufoto sebuah portal di negeri ini, terpaksa akur apabila perlu dikuarantin sekali gus memaksanya untuk tidak bekerja atau berada di khalayak ramai.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendapatannya terjejas tambahan pula isteri hanya seorang suri rumah selain menanggung lima anak berusia dua hingga sembilan tahun.

"Dengan perbelanjaan harian dan sewa rumah yang perlu dijelaskan, saya bimbang jika perlu dikuarantin lebih lama.

"Sebelum disahkan penyakit ini, pendapatan saya sekitar RM1,800 hingga RM2,500 sebulan sebagai juruvideo dan jurufoto," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang kuarantin dia perlu ke klinik kesihatan setiap hari untuk mengambil ubat termasuk pemeriksaan kesihatan selama fasa intensif.

"Setakat ini kesihatan saya semakin pulih berbanding sebelum ini, bagaimanapun pemeriksaan baru-baru ini mendapati masih ada lagi kuman pada paru-paru.

"Dengan keadaan ketika ini, tertekan juga kerana tidak dapat memenuhi keperluan keluarga selain tidak dapat keluar dan terpaksa duduk di rumah berbulan-bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan permulaan penyakit berkenaan, Mohd Zamzuri berkata, dia mula mengalami batuk pada Ramadan lalu menyebabkan keadaan kesihatannya merosot selain hilang selera makan sekali gus berat badan mulai susut.

"Sejak itu saya tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan sebelum keadaan semakin teruk pada Aidilfitri lalu sehingga menyebabkan saya sukar tidur.

"Saya membuat pemeriksaan dan disahkan menghidap tibi sebelum diarahkan kuarantin di rumah," katanya yang memaklumkan ada menerima bantuan daripada Baitulmal.

Tambahnya, berharap segera pulih daripada penyakit itu selain dapat meneruskan pekerjaannya seperti biasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!