Pengusaha makanan digesa daftar, ambil suntikan antitifoid

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka menggesa semua pengusaha makanan sediaan di rumah mendaftar dengan Jabatan Kesihatan negeri menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan mendapatkan suntikan vaksin antitifoid untuk memastikan kualiti makanan disediakan adalah selamat dan sihat.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai negeri destinasi tumpuan pelancong yang datang untuk menikmati pelbagai makanan, kerajaan negeri juga amat menitikberatkan perkara itu untuk memastikan makanan dan produk dijual berkualiti, selamat serta terjamin daripada sebarang risiko penyakit.

"Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi negeri pertama melaksanakan kempen ini secara besar-besaran dalam menggalakkan pengusaha berniaga secara dalam talian sama ada sepenuh masa ataupun sambilan, untuk mendapatkan suntikan ini untuk mencegah penyakit bawaan air dan keracunan.

"Menerusi FoSIM ini pengusaha akan diberi latihan pengendali makanan daripada sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf selain dilihat memberi nilai tambah kepada pengusaha yang menunjukkan komitmen untuk memastikan makanan dihasilkan mematuhi piawaian ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu hadir menyempurnakan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 peringkat negeri dan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini.

Mengulas lanjut Dr Muhammad Akmal berkata, pengguna dan pelancong yang datang juga perlu bijak memilih sebelum membeli makanan yang dijual dengan membuat semakan menerusi aplikasi FoSIM untuk memastikan pengusaha makanan telah berdaftar.

Katanya, ia juga membuktikan penjual makanan itu telah mendapatkan suntikan vaksin antitifoid dan mempunyai kemahiran pengendalian makanan seterusnya menjamin kualiti makanan disediakan di rumah, memenuhi keperluan amalan kebersihan dan keselamatan makanan agar kejadian keracunan makanan dapat dielakkan.

"Jabatan ini akan terus memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan makanan bagi memastikan rakyat di negeri ini terus menikmati makanan yang selamat dan sihat selain dapat membantu meningkatkan ekonomi Melaka melalui industri pelancongan makanan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!