Peralihan kepada agenda hijau perlu berperingkat
KUALA LUMPUR - Peralihan kepada agenda hijau perlu dilaksanakan secara berperingkat kerana perubahan secara pesat berpotensi membawa kesan limpahan negatif seperti kehilangan pekerjaan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, memandangkan banyak syarikat berusaha untuk mencapai agenda hijau masing-masing, peralihan itu agak memberi ancaman kepada perniagaan dan pekerjaan khususnya di negara-negara ASEAN.
Menurutnya, berdasarkan laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Asia Tenggara berpotensi kehilangan kira-kira setengah juta pekerjaan dalam bidang bahan api fosil pada 2050, bagaimanapun boleh mewujudkan kira-kira lima juta pekerjaan terutama dalam sektor tenaga boleh baharu.
"Kehilangan pekerjaan akibat peralihan kepada ekonomi hijau serta kehilangan pekerjaan tidak langsung berkaitan dengan industri ini juga memberi kesan negatif yang besar terhadap pasaran buruh,” katanya pada Sidang Kemuncak Kelestarian Bumi Yang Lebih Sejuk 2022 di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sesi panel menteri bertajuk ‘Mempercepat Tindakan Iklim dan Keadilan’ bersama rakan sejawatan dari Indonesia, Sri Mulyani Indrawati pada sidang kemuncak itu.
Tengku Zafrul menjadikan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas serta syarikat utiliti utama Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai contoh dengan memetik inisiatif agenda hijaunya.
Menurutnya, Petronas menggaji hampir 50,000 pekerja di seluruh dunia yang kebanyakannya terlibat dalam perniagaan minyak dan gas huluan serta hiliran.
"Peralihan atau mengubah keseluruhan model perniagaan mereka kepada solar hidrogen contohnya tanpa sebarang pendekatan berperingkat, akan menggantikan sejumlah besar pekerja.
"Ini tidak termasuk ekosistem penuh mereka, terdapat 4,000 vendor dan pembekal yang jelas sekali turut menggaji pekerja mereka sendiri...ini sudah pasti membawa kesan limpahan negatif terhadap ekonomi dan masyarakat tempatan, kawasan yang menjadi tempat operasi mereka, dan sudah tentu industri ini juga,” katanya.
Beliau berkata, TNB yang menggaji kira-kira 40,000 pekerja dan mempunyai kira-kira 3,200 vendor yang terlibat dalam perniagaan penjanaan tenaga, setakat ini menukar secara beransur-ansur kira-kira 50 peratus penjanaan tenaga daripada arang batu.
Tengku Zafrul berkata, justeru untuk mengurangkan kesan negatif daripada penamatan arang batu dan hidrokarbon, kerajaan perlu melaksanakan dasar peralihan yang adil untuk penduduk yang terjejas.
"Jadi, terdapat keperluan untuk mengekalkan pekerjaan di kawasan pengeluaran yang menumpukan arang batu atau hidrokarbon, selain penting untuk mengadakan dialog antara kerajaan, pekerja dan majikan di semua peringkat pembangunan dasar, dalam usaha memastikan perlindungan sosial, pemulihan hijau dan pembangunan kemahiran.
"Ini boleh dicapai contohnya melalui pengajaran kemahiran baharu kepada kalangan pekerja dan mengurangkan risiko pekerja terkandas apabila kita beralih kepada ekonomi hijau dan kemudian menunjukkan komitmen asas terhadap hak asasi manusia dengan mengenal pasti dan menguruskan risiko sedemikian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!