JKM Kedah siap sedia hadapi banjir

Halimaton Shaadiah (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk ketika Karnival Usahawan Wanita Kedah 2022 di RTC Pekan Napoh di sini pada Selasa.
Halimaton Shaadiah (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk ketika Karnival Usahawan Wanita Kedah 2022 di RTC Pekan Napoh di sini pada Selasa.
A
A
A

KUBANG PASU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah bersiap sedia dari segi bentuk bantuan termasuk kelengkapan barang keperluan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, semua barang kelengkapan terbabit telah siap sedia diletakkan di depot bencana di Bedong.

Katanya, JKM juga telah mengemas kini dan menggantikan semula segala barang yang tidak boleh dipakai atau telah luput tarikh.

"Saya akan melawat Depot bencana banjir di Bedong bersama-sama JKM sebagai persediaan untuk menghadapi musim ketujuh yang dijangka berlaku banjir besar November ini.

"Di depot semua barang kelengkapan dah 'get ready' mana barang yang tak boleh pakai seperti lampin pakai buang kita terus "clear" dan ganti balik," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita Kedah 2022 di RTC Pekan Napoh di sini pada Selasa.

Menurutnya, setakat ini Pengarah JKM negeri juga telah bermesyuarat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

" Insya-ALLAH kita mohon Allah SWT beri perlindungan kepada kita walaupun kita tahu semuanya adalah kuasa Allah SWT yang menentukan.

" Walau bagaimanapun, kita di peringkat kepimpinan negeri siap siaga dan JKM sentiasa membantu tanpa mengira waktu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Halimaton Shaadiah berkata, beberapa sekolah terpilih di setiap daerah di Kedah telah digazetkan oleh JKM sebagai pusat penempatan sementara.

"Bagi depot bencana pula kita cuma ada di Bedong setakat ini," katanya.

Pada 2 September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!