Wanita dapat kebenaran mulakan prosiding komital bekas suami

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu tunggal, Loh Siew Hong pada Selasa memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy yang sebelum ini didakwa melarikan dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam.

Hakim Evrol Mariette Peters memberikan kebenaran itu selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan peguam Gunamalar Joorindanjn, yang mewakili Siew Hong selaku pempetisyen.

Terdahulu, Gunamalar berhujah bahawa Muhammad Nagahswaran selaku responden melanggar perintah mahkamah apabila melarikan tiga anak mereka iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

"Responden dari awal lagi mengetahui pempetisyen diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anak mereka, namun mereka (anak-anak pasangan itu) diambil daripada ibu mereka tanpa kebenaran pempetisyen. Ini menunjukkan responden tidak menghormati perintah mahkamah ini," kata Gunamalar yang turut dibantu peguam Tony Thian Yee Chin.

Menurut Gunamalar, permohonan itu hanya difailkan pada 4 Julai lepas kerana keberadaan kanak-kanak itu sebelum ini tidak diketahui.

Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Siew Hong.

Hakim Peters membuat keputusan tersebut selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak itu dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Siew Hong.

Beliau berkata, MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Siew Hong berhubung permohonan difailkan pada 7 Mac lepas untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan diperoleh wanita tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam petisyen perceraian itu, Siew Hong, 34, diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi ketiga-tiga anaknya.

Sementara itu, Gunamalar memberitahu pemberita, rayuan MAIPs berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan badan itu untuk menjadi pencelah dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!