'Raja ular' dipatuk tedung selar
KANGAR - Seorang lelaki yang digelar ‘Raja Ular’ nyaris maut apabila dipatuk tedung selar ketika menangkap reptilia itu di Kampung Belukar, Abi, semalam.
Azri Ahmad, 50, seorang petugas Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat di sini yang berpengetahuan luas dalam hal berkaitan ular dipatuk di tangan kanannya.
Isterinya, Siti Hawa Mahamad ketika ditemui berkata, suaminya menerima panggilan daripada penduduk memaklumkan tentang keberadaan seekor ular di kampung itu pada kira-kira 1 tengah hari.
"Saya menemani suami apabila ada makluman mengenai ular dan kami berdua pergi untuk menangkapnya.
"Bila dah dapat tangkap, suami saya masukkan ular itu ke dalam guni tetapi kali ini ular itu bertindak agresif.
“Suami saya dipatuk ular itu tetapi merahsiakan daripada saya. Dia hanya cakap senerih (tergesel) saja. Saya kemudian memaksa beliau pergi ke hospital mendapatkan rawatan," katanya di sini, hari ini.
Siti Hawa berkata, sejurus tiba di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), suami beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan masih tidak sedarkan diri.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!