‘Najib seperti punya akses bebas kepada dunia luar’ - Rafizi
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan tulisan-tulisan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.
Rafizi berkata, Najib kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada ‘Merpati’ di penjara.
Sejak beberapa hari lalu, timbulnya dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib yang dirujuk dengan nama kod Merpati di media sosial.
Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawanya ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).
Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi pada mulanya dilaporkan enggan mengulas mesej yang tersebar itu kerana tiada nama penulis.
Bagaimanapun katanya, hantaran di Facebook Najib pada Isnin yang mengulas pendekatan PKR untuk mendekati pengundi atas pagar telah menarik perhatiannya.
Saya keliru. Rakyat diberitahu bahawa kesihatan Najib tidak baik, tetapi sebaliknya dia nampak macam sihat dan malah boleh buat hantaran di Facebooknya,” katanya pada Selasa.
Tegas Rafizi, Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar.
“Bagaimana dia sampaikan mesej kepada pentadbir Facebooknya, lebih-lebih lagi bagaimana dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR pada Ahad lalu?,” soalnya.
Katanya, sekiranya benar Najib akan dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras, ia sekali gus mengukuhkan dakwaan di internet.
“Dan ini isu serius yang Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan perlu jawab,” ujarnya.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!