RM19.5 juta diperuntukkan industri kelapa, kopi

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menumpukan empat varieti iaitu Hybrid Matag, Malayan Yellow Dwarf, Malayan Red Dwarf dan Kelapa Pandan. - Foto 123rf
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menumpukan empat varieti iaitu Hybrid Matag, Malayan Yellow Dwarf, Malayan Red Dwarf dan Kelapa Pandan. - Foto 123rf
A
A
A

BATU PAHAT - Peruntukan sebanyak RM19.5 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membangunkan industri kelapa dan kopi negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Jumlah itu masing-masing sebanyak RM15 juta bagi industri kelapa dan RM4.5 juta untuk tanaman kopi.

Menurutnya, ini turut merangkumi penyediaan infrastruktur dan fasiliti pengendali lepas tuai, pembekalan input pertanian, perolehan bahan, peralatan kawalan perosak serta pemindahan teknologi bagi dua tanaman tersebut.

"Jumlah peruntukan itu agak besar bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran tanaman terutamanya untuk tujuan eksport," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kelapa dan Kopi 2022 di Pusat Pertanian Parit Botak di sini, pada Selasa.

Mengulas selanjutnya, Nik Muhammad Zawawi berkata, setakat 2020, penanaman kopi di negara ini melibatkan kawasan seluas 2,200 hektar yang mampu menghasilkan pengeluaran sehingga 4,241 tan setahun manakala kelapa di kawasan berkeluasan 84,942 hektar dengan pengeluaran sebanyak 536 juta biji.

"Kebanyakan (jenis biji) kopi adalah Liberica serta Robusta dengan kawasan tanaman utama di Johor, Sabah serta Sarawak.

"Bagi kelapa pula, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menumpukan empat varieti iaitu Hybrid Matag, Malayan Yellow Dwarf, Malayan Red Dwarf dan Kelapa Pandan.

"Sehingga kini, sebanyak 65.4 peratus keluasan tanaman kelapa adalah di Semenanjung Malaysia dan 34.6 peratus lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas sambutan Hari Kelapa dan Kopi 2022, beliau berkata, sambutan secara bersama ini bertujuan menghargai dan meraikan semua pihak yang terlibat dalam industri di sepanjang rantaian seperti petani, pemproses, pengilang dan pengguna. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!